Kejahilan yang menutup pintu kecintaan

Posted by 19 Jan, 2012

Alhamdulillah hi robbil ‘alamiin, segala puji dan syukur di rafa’kan ke hadrat Allah SWT di atas limpahan Rahmat dan Kasih sayangNya kepada kita selaku hambaNya yang serba kekurangan dan dipenuhi dengan kelemahan. Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah, pada setiap kerlipan mata dan hembusan nafas sebanyak luasnya ilmu  Allah. Selawat dan salam buat Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam.


Sewaktu saya masih di usia kanak-kanak dan sehinggalah ke hari ini, amalan berjikir (bermaulid) telah sekian lama menjadi tradisi dalam masyarakat Islam di Negeri Sarawak. Saya masih ingat lagi setiap kali apabila pergi pengilan (kenduri) sama ada Majlis pertunangan, perkahwinan mahupun Majlis Makan Selamat (Majlis Kesyukuran) kelahiran bayi atau bersunat (berkhatan), pastinya ada sekumpulan lelaki atau perempuan berpakaian sepasang (seragam), kira-kira dalam 15-20 orang malahan lebih daripada jumlah tersebut akan dijemput untuk berjikir (bermaulid). Sejujurnya saya tidak memahami setiap bacaan yang dialunkan oleh mereka. Apa yang saya tahu hanyalah di akhir jikir (maulid) itu semua ahli-ahli akan berdiri dan mengalunkan selawat dalam nada yang tidak sama seperti selawat-selawat yang dialunkan oleh kumpulan-kumpulan nasyid yang terkenal.


Saya masih ingat kitab yang bewarna merah itu. Arwah ayah saya masih menyimpan satu salinan kitab tersebut tetapi saya tidak pula berminat untuk melihat apakah isi kandungannya sehinggalah Allah SWT memberikan kefahaman kepada saya melalui perantaraan guru yang dikasihi Al Musnid Syeikh Hj  Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki (sekarang Syeikh Dato’ Hj Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki). Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memberikan kesihatan kepada beliau. Benar, saya merasa benar-benar jahil dan tidak tahu mengenai satu elemen yang sekian lama menjadi tradisi dalam hidup masyarakat Islam di negeri saya. Sungguh saya merasa malu pada Allah dan diri saya. Betapa saya sungguh jauh terbelakang dalam erti mengenali cinta kepada Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam. Sungguh kebodohan dan keangkuhan saya memahami erti agama dalam kotak yang sempit.

 

Rupa-rupanya majlis jikir (maulid) yang sering memenuhi majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya merupakan bacaan kitab maulid nabi sallahu ‘alayhi wassalam yang dikenali sebagai Maulid Barzanji yang disusun oleh Syeikh Ja’far al Barzanji radiallahu anhu. Secara umumnya, kitab ini mengandungi ringkasan tentang keturunan Nabi sallahu ‘alayhi wassalam yang mulia, kelahiran Baginda sallahu ‘alayhi wassalam, peristiwa semasa kelahirannya dan tempoh pembesarannya, sirah kehidupan baginda sallahu ‘alayhi wassalam, dakwahnya, peristiwa Isra’ dan Mikraj, hijrahnya ke Madinah, bentuk tubuh dan sifat-sifatnya serta lain-lainnya. Ia disusun dengan prosa kata yang indah. Membaca kitab Maulid Berzanji bermakna membaca sirah kehidupan baginda sallahu ‘alayhi wassalam, keistimewaanya dan sifat-sifatnya.

 

Hati saya begitu sayu dan menahan sebak apabila mendengar salah seorang daripada ahli kumpulan jikir ini mengalunkan rawi Al-Jannatu Wa Na-‘imuha dan Wa Lamma Tamma Min Hamlihi Syahraa-ni. Saya benar-benar merasa jauhnya saya dari kasih baginda Rasul sallahu ‘alayhi wassalam. Mengapa pada saat ini baru terdetik di hati saya ingin mengetahui apa maksud di sebalik alunan rawi itu.

 

Syurga dan segala kenikmatannya adalah kebahagiaan bagi orang-orang yang mendoakan selawat dan salam serta memohon berkat kepadanya (Muhammad sallahu ‘alaihi wassalam)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Aku mulakan tulisan ini dengan nama Zat yang Maha Tinggi

Sambil mengharapkan curahan berkat atas apa yang diberikan Allah kepadanya dan Dia kurniakan nikmat kepadanya.

Dan aku memuji dengan pujian yang sumbernya mudah tidak susah

Dengan mengenderai sekeduo dari syukur yang indah.

Dan aku sertakan selawat dan salam ke atas Nur yang bersifat terdahulu dan permulaan

Yang berpindah-pindah (Nur Muhammad itu) dari seorang yang mulia kepada orang mulia lainnya.

Dan aku memohon supaya Allah Taala memberikan keredhaan kepada keluarga beliau yang suci.

Semoga ia (keredhaan itu) merata kepada para sahabat, tabiin dan orang-orang yang dicintainya.

dan aku memohon hidayah daripadaNYa untuk menempuh jalan yang jelas lagi terang.

Dan semoga terpelihara dari kesesatan di tempat-tempat dan jalan-jalan kesalahan.

Dari kisah kelahiran Nabi Muhammad sallahu ‘alayhi wassalam itu akan saya sebarkan riwayat dan keteladanan yang baik.

Dengan membuat huraian daripada keturunan yang mulia sebagaimana untaian kalung permata yang menghiasi para pendengar dengan indahnya.

Dan saya minta tolong dengan daya Allah Taala dan tenagaNya yang kuat.

Kerana sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

Ya Allah, harumkanlah kuburnya (Nabi Muhammad sallahu ‘alayhi wassalam) yang mulia dengan haruman yang semerbak daripada rahmat dan kesejahteraan.

 

 

Pada waktu belia berumur dua bulan dalam kandungan ibunya menurut pendapat yang masyhur

Ayahnya yang bernama Abdullah telah wafat di Madinatul Munawwarah.

Ayahnya pergi ke sana untuk mengunjungi paman-pamannya Bani Adi dari kelompok Najjar.

Beliau tinggal bersama mereka selama satu bulan. Mereka turut mengatasi penyakitnya dan keluhannya.

Tatkala beliau sudah sembilan bulan dalam kandungan.

Dan sudah sampai masa kelahirannya.

Pada malam kelahirannya itu ibunya telah di datangi oleh Asia dan Maryam dari Hazirah Al Qudsiah.

Datanglah kepada Aminah, sakitnya orang yang mahu melahirkan, lalu beliau pun melahirkan Nabi Muhammad sallahu ‘alayhi wassalam dengan cahaya yang cemerlang.

Wajahmu bagaikan matahari yang menyinari, yang kerananya malam menjadi terang benderang.

Malam kelahiran beliau yang membawa kegembiraan dan kemegahan bagi agama.

Dengan kelahiran pada hari itu merupakan kebanggaan yang diperoleh oleh Aminah bt Wahab. Satu kebanggaan yang tidak diperolehi oleh wanita lain.

Aminah telah membawa kepada kaumnya seorang bayi yang lebih mulia dari bayi yang dilahirkan sebelumnya oleh Maryam yang perawan.

Kelahiran Nabi dalam pandangan orang-orang kafir adalah merupakan kehinaan atas mereka. Dan menjadi bencana yang besar bagi mereka.

Dan berturut-turut datang kegembiraan dibawa orang yang tidak kelihatan orangnya. Bahawa telah dilahirkan orang pilihan itu dan tetaplah kegembiraan itu.

Ini beerti sangat baiklah berdiri ketikan memperingati kelahirannya menurut imam yang mempunyai riwayat dan pendapat.

Sungguh beruntunglah orang-orang yang memuliakannya dengan penuh hati dan pokok tujuannya.

Ya Allah, harumkanlah kuburnya (Nabi Muhammad sallahu ‘alayhi wassalam) yang mulia dengan haruman yang semerbak daripada rahmat dan kesejahteraan.

 

Membaca Maulud Barzanji dengan menyebut-nyebut tentang kemuliaan dan ketinggian keperibadiaan Baginda sallahu ‘alayhi wassalam termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam.

Sesungguhnya kejahilan diriku telah menutup pintu kecintaan kepada insan semulia-mulia makhluk ciptaan Illahi. Maka pintu kejahilan itu harus dirobohkan agar bibit kecintaan itu akan tumbuh sedikit demi sedikit. Namun begitu, untuk memperolehi cinta itu, carilah mereka yang telah begitu akrab cintanya kepada baginda sallahu ‘alayhi wassalam. Sesungguhnya menuju kecintaan kepada Allah dan kekasiNya perlukan bimbingan seorang guru.

 

Rujukan :

Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaluddin Al Maliki, Maulid Barzanji, Sofa Production, (2009)

Syahrin Nasution, Terjemahan Barzanji, Darul Nu’man (2009)


Share
Categories : Agama

Leave Comment

(required)

(required)


*